Accessibility Tools

USRAH GEN Z 3.0 – Solat dan Dunia: Menyantuni Jiwa Generasi Masa Kini

USRAH GEN Z 3.0 – Solat dan Dunia: Menyantuni Jiwa Generasi Masa Kini

5 Jun 2026 | Alhamdulillah, Program Usrah Gen Z Siri Ke-3 berjaya dilaksanakan dengan penuh meriah di Surau Ar-Rahman, ADTEC JTM Kampus Kuala Langat. Keistimewaan program kali ini bukan sahaja terletak pada perkongsian ilmu yang disampaikan oleh para panel jemputan yang berpengalaman, malah turut diserikan dengan alunan qasidah yang mendamaikan daripada kumpulan Syabab Firdausi, Surau Banting Baru. Konsep yang dibawakan amat menarik apabila setiap slot perkongsian berkaitan tema "Solat dan Dunia" diselang-selikan dengan persembahan qasidah, menjadikan suasana lebih santai, segar dan dekat di hati para pelajar. Pendekatan ini membuktikan bahawa hiburan yang berteraskan Islam mampu menjadi medium yang berkesan dalam menyampaikan dakwah serta menyuburkan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah SAW. Para pelajar dan staf bukan sahaja memperoleh ilmu yang bermanfaat mengenai kepentingan menjaga solat dalam kehidupan seharian, malah turut menikmati halwa telinga yang mendidik jiwa serta menenangkan hati. Semoga program seperti ini terus menjadi wadah pembentukan sahsiah generasi muda yang seimbang antara tuntutan dunia dan akhirat, serta melahirkan insan yang sentiasa meletakkan solat sebagai keutamaan dalam kehidupan. "Apabila solat dijaga, maka kehidupan akan terpelihara. Apabila solat diabaikan, maka hilanglah keberkatan dalam perjalanan hidup." Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Usrah Gen Z Siri Ke-3. Semoga segala usaha dan pengorbanan ini menjadi amal soleh yang diterima serta mendapat ganjaran berlipat ganda di sisi Allah SWT.
Aktiviti Futsal Bersama Alumni ADTEC JTM Kampus Kuala Langat

Aktiviti Futsal Bersama Alumni ADTEC JTM Kampus Kuala Langat

4 Jun 2026 | Alumni ADTEC JTM Kampus Kuala Langat telah menganjurkan perlawanan persahabatan futsal bersama IKSN Kuala Langat yang melibatkan pelajar ADTEC JTM Kampus Kuala Langat. Program yang berlangsung pada malam tadi diadakan di IKSN Kuala Langat. Aktiviti ini diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan alumni serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan Semoga program ini memberi manfaat kepada semua pihak dan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan kolaborasi serta ukhuwah antara alumni dan pelajar ADTEC JTM Kampus Kuala Langat.
Program Bacaan Yasin Perdana & Taklimat Berkaitan Wakaf

Program Bacaan Yasin Perdana & Taklimat Berkaitan Wakaf

5 Jun 2026 | Program Bacaan Yasin Perdana Sempena Minggu Peperiksaan Akhir Semester Sesi 1/2026 & Taklimat Berkaitan Wakaf Pihak ADTEC JTM Kampus Kuala Langat telah menganjurkan Program Bacaan Yasin Perdana sempena Minggu Peperiksaan Akhir Semester Sesi 1/2026 serta Sesi Taklimat Berkaitan Wakaf. Program yang berlangsung pada pagi tadi di Surau Ar-Rahman, ADTEC JTM Kampus Kuala Langat telah dihadiri oleh Pengarah, Ts. Yuslan bin Yasok, barisan pengurusan, serta semua kakitangan dan pelajar Islam. Program ini diadakan bagi memohon keberkatan dan kelancaran buat para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akhir semester pada minggu hadapan, di samping memberikan pendedahan serta kefahaman yang lebih mendalam mengenai amalan institusi wakaf kepada seluruh warga kampus. Semoga program kerohanian dan perkongsian ilmu ini memberi manfaat, ketenangan, serta impak yang positif kepada seluruh warga kampus, terutamanya dalam memupuk nilai-nilai murni.
Demo VR oleh  Bengkel Multimedia di Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku

Demo VR oleh Bengkel Multimedia di Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku

5 Disember 2025 | Para pelajar Bengkel Multimedua ADTEC JTM Kampus Kuala Langat telah turut terlibat dalam menjayakan demonstrasi Virtual Reality (VR) sempena Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku. Pelajar-pelajar kami berpeluang menunjukkan penggunaan teknologi VR dalam pembelajaran interaktif kepada para pengunjung. Melalui demo ini, pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman pembelajaran imersif serta melihat bagaimana teknologi VR menyokong agenda TVET masa kini. Tahniah kepada pelajar yang terlibat kerana berjaya mengendalikan sesi demo dengan penuh semangat.
Majlis Penutup Aktiviti Ko-Kurikulum Sesi 2/2025

Majlis Penutup Aktiviti Ko-Kurikulum Sesi 2/2025

21 November 2025 | Pihak ADTEC JTM Kampus Kuala Langat telah menjayakan Majlis Penutup Aktiviti Ko-Kurikulum Sesi 2/2025 yang melibatkan kolaborasi bersama Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Langat. Program yang berlangsung pada petang tadi telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Latihan ADTEC JTM Kampus Kuala Langat, En. Loh Hong Wai, dan turut dihadiri oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting sebagai tetamu dan juri bagi aktiviti cabaran. Program ini telah disertai oleh semua pelajar Semester 1 dan Semester 2 ADTEC JTM Kampus Kuala Langat, yang turut bertanding dalam acara kemuncak seperti Fire Fighter Challenge dan Medical Endurance. Majlis Penyampaian Hadiah turut disempurnakan oleh En. Loh Hong Wai. Majlis penutup ini diadakan bagi merasmikan tamatnya Sesi Ko-Kurikulum 2/2025 dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan, di samping memberi pendedahan dan pengiktirafan kepada para pelajar yang cemerlang dalam menguasai kemahiran asas keselamatan dan kecemasan. Semoga program ini memberi manfaat kepada semua pihak dan menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam kemahiran teknikal, tetapi juga berdaya tahan dan cekap dalam situasi kecemasan.

Alamat

Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat 
Jalan Sultan Abdul Samad
42700 Banting, Selangor Darul Ehsan
 
 Telefon : 03 - 3120 4600
 Faksimili : 03 - 3120 4440
 Email : info.ilpkls@jtm.gov.my 

 

 

Media Sosial